35 kanak-kanak menyertai projek CSR berkhatan KPJ Kuching

Sebahagian daripada kanak-kanak yang terlibat di dalam Projek Berkhatan KPJ Kuching.

KUCHING, 1 Dis: KPJ Kuching telah menganjurkan acara Projek Berkhatan bersempena cuti sekolah ini.

Acara tahunan ini diadakan di klinik Waqaf An-Nur Samariang yang dibawah pengurusan KPJ Healthcare Bhd.

Menurut Pengurus Besar KPJ Kuching, Nurhazimah Mahat, seramai 35 orang kanak-kanak yang berumur dari 10 hingga 12 tahun telah mendaftar untuk projek ini.


“Mereka terdiri dari pelbagai latar belakang, bangsa dan agama. Ia merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu lebih ramai masyarakat.

“Klinik hanya mengenakan bayaran minimum RM80 untuk perkhidmatan ini,” katanya menerusi kenyataan media.

KPJ Kuching, tambah Nurhazimah, sentiasa mempromosikan kehidupan yang sihat kepada masyarakat.

Katanya, perkhidmatan ini menunjukkan KPJ peka tentang kepentingan menjaga kebersihan diri sejak kecil.

“Dengan berkhatan, ia dapat mengurangkan risiko jangkitan kuman pada kanak-kanak. Ibubapa juga seharusnya menyokong usaha ini kerana ia akan memberi kebaikan kepada kesihatan anak-anak mereka,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata acara tahun ini mendapat sambutan yang luar biasa apabila kuota kanak-kanak yang dibuka telah dipenuhi dalam masa satu hari sahaja. — DayakDaily