3,391 kes baharu, 19 kematian dilaporkan hari ini

Dr Noor Hisham

PUTRAJAYA, 5 Feb: Sebanyak 3,391 kes baharu Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kes di seluruh negara kini meningkat kepada 234,874 kes dengan kebolehjangkitan kes aktif sebanyak 48,751 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak empat kes daripada keseluruhan kes positif yang dilaporkan pada hari ini dikesan mendapat jangkitan di luar negara.

“Selangor melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 1,228 kes (36.2 peratus). Daripada jumlah ini, sebanyak 816 kes (66.4 peratus) adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan. Ini diikuti oleh Johor sebanyak 598 kes (17.6 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 395 kes (11.6 peratus).


Sebanyak 145 kes (4.3 peratus) yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (52 kes), Kluster Tembok Bukit Besi (23 kes), Kluster Tembok Taiping (21 kes), Kluster Tembok Renggam (16 kes), Kluster DTI Sepang 2 (13 kes), Kluster Tembok Mempaga (13 kes), Kluster Seberang Perai (4 kes), Kluster Tembok Sungai Udang (1 kes), Kluster Penjara Kepayan (1 kes), dan Kluster Telok Mas (1 kes),” katanya dalam kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, 19 kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan kumulatif kes kematian akibat wabak tersebut terus meningkat kepada 845 kes atau 0.36 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan sehingga kini.

“Sehingga jam 12.00 tengah hari ini, terdapat 3,393 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sudah pulih sepenuhnya di negara ini sebanyak 185,278 kes atau bersamaan 78.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kinijuga, seramai 310 kes sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 134 kes daripadanya masih memerlukan bantuan alat penafasan,” katanya.

Tambah Dr. Noor Hisham, Kementerian kesihatan turut mengesan 15 kluster baharu dikenal pasti hari ini melibatkan 12 kluster tempat kerja, dua kluster komuniti dan satu kluster melibatkan kumpulan berisiko tinggi.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan Kluster yang telah dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 876 kluster dengan 442 daripadanya telah ditamatkan manakala 434 kluster masih lagi aktif

“sebanyak 88 kluster daripada jumlah kluster yang masih aktif itu melaporkan pertambahan kes pada hari ini.

“Kluster-kluster yang melaporkan pertambahan kes baharu tertinggi adalah Kluster Jalan Runbia Dua (133 kes), Kluster Sri Sengkang (112 kes), dan Kluster Indutri Serkam (96 kes),” tambah Dr. Noor Hisham.-DayakDaily