31 individu ditangkap berkaitan dadah dari 3 hingga 13 Feb di Kuching

Dadah yang dirampas dalam operasi tersebut.

KUCHING, 15 Feb: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching terus mengempur kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah dengan menangkap 31 lagi individu di bawah ‘Ops Tapis’ sejak 3 hingga 13 Feb ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata seramai 27 yang ditangkap adalah lelaki dan empat lagi wanita berusia lingkungan 17 hingga 53 tahun.

Katanya, lokasi serbuan adalah adalh Kampung Tupong, Tabuan Dusun dan Taman Sri Sarawak.


“Pecahan daripada jumlah tangkapan tersebut merangkumi 26 kes di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, dua kes Seksyen 12(2) ADB 1952 sementara satu kes masing-masing di bawah Seksyen 39A(1) dan Seksyen 39B

“Seramai 10 daripada suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sepanjang tempoh itu jelasnya, pasukannya turut berjaya menangkap empat kes di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

Tambah Ashmon, pasukan operasi juga berjaya merampas dadah jenis syabu seberat sekitar 646.59 gram.

“Polis daerah Kuching mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan aktiviti penyalahgunaan dadah,” katanya.