3 suspek ditangkap berhubung kes gaduh di One TJ

Siasatan dijalankan di lokasi kejadian.

KUCHING, 21 Okt: Tiga lelaki ditangkap disyaki terlibat menyerang seorang lelaki di kawasan One TJ, di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar jam 1.42 pagi yang menyebabkan mangsa berusia 22 tahun mengalami kecederaan parah.

Katanya, hasil siasatan polis telah berjaya menangkap ketiga-tiga suspek yang berusia 21 hingga 35 tahun.


“Mangsa mengalami kecederaan akibat diserang oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali dan kereta mangsa turut dirosakkan.

“Tiga suspek lelaki warga tempatan telah ditangkap bersabit kes pergaduhan ini dan seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIPSOM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu merusuh menggunakan senjata dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu Khianat.

“Manakala mangsa telah dirujuk ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk mendapatkan rawatan dan dalam keadaan stabil,” katanya. — DayakDaily