3 bulan moratorium pinjaman bank untuk bantu rakyat

File photo for illustration purposes
Advertisement

By Nur Ashikin Louis

KUCHING, 31 Mei: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini telah mengumumkan pemberian moratorium pinjaman bank selama tiga bulan sebagai bantuan kepada rakyat yang terjejas ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang akan bermulai esok (1 Jun).

Beliau memberitahu hasil perbincangan bersama Bank Negara Malaysia (BNM), industri perbankan memberi jaminan dan komitmen penuh untuk terus memberikan bantuan pembayaran balik pinjaman dan moratorium.

Advertisement

“Oleh itu, bagi semua golongan B40 dan rakyat yang terjejas ekoran kehilangan pekerjaan serta perusahaan mikro dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang tidak dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKP, anda diberi pilihan untuk mendapatkan kelulusan moratorium secara automatik selama tiga bulan atau boleh memilih untuk mendapatkan pengurangan bayaran balik secara ansuran sebanyak 50 peratus selama tempoh 6 bulan.

“Inisiatif ini akan dilaksanakan segera pada bulan Jun yang dijangka memanfaatkan lebih dari lima juta peminjam dengan nilai sehingga RM30 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan pakej Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) dalam satu siaran langsung televisyen di TV1 malam ini.

Muhyiddin turut memberitahu bahawa kerajaan telah bersetuju untuk melanjutkan Program Subsidi Upah di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selama sebulan bagi semua sektor ekonomi yang terkesan dengan pelaksanaan ‘total lockdown’.

Katanya, pelanjutan program berkenaan akan memakan kos RM1.5 billion dengan had 500 pekerja bagi setiap permohonan.

“Adalah dijangkakan 2.5 juta pekerja dan lebih 200,000 majikan akan mendapat manfaat,” jelasnya. — DayakDaily

Advertisement