29 acara sah dipertandingkan, hanya tinggal sepak takraw beregu wanita — Gerald

Atlet Sukma Sarawak hadir ke Program 'Sukma Sarawak Gold Hunter Camp'.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 14 Julai: Sebanyak 29 daripada 30 acara sukan yang berdepan risiko digugurkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 Sarawak kini sah dipertandingkan.

Timbalan Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu berkata, perkara tersebut diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikel Sukma yang diadakan semalam.

Advertisement

“Pada mesyuarat semalam kita telah mendapat persetujuan dan penyertaan daripada negeri-negeri lain.

“Daripada 30 acara sukan yang berdepan risiko tidak cukup penyertaan, kini hanya tinggal satu acara sahaja,” kata Gerald.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Perasmian ‘Sukma Sarawak Gold Hunter Camp’ di sini, hari ini.

Gerald meletakan tandatangan sebagai pembakar semangat atlet Sukma Sarawak di Program ‘Sukma Sarawak Gold Hunter Camp’.

Tambah Gerald, satu-satunya sukan yang masih kurang penyertaan ialah sepak takraw beregu wanita.

Namun jelas beliau, perkara tersebut akan dibawa ke mesyuarat Majlis Tertinggi Sukma pada 18 Julai ini.

“Kita akan mengemukakan rayuan agar ia (sepak takraw beregu wanita) kekal dipertandingkan.

“Ini adalah kerana ada negeri yang sudah membeli tiket penerbangan dan pasukan Sarawak pun sudah bersedia.

“Kalau ada lima penyertaan pun kita berharap ia akan terus dipertandingkan dan keseluruhan acara kekal 488,” ujar Gerald.

Terdahulu, sebanyak 30 daripada keseluruhan 488 acara yang dipertandingkan seakan sukar mencapai jumlah penyertaan minimum enam negeri. — DayakDaily

Advertisement