27 projek bernilai RM439 juta giat dilaksanakan di Mukah

Abdul Rahman (dua dari kiri) pada lawatan kerja meninjau projek bekalan air di Mukah.

KUCHING, 10 Nov: Kerajaan sedang giat melaksanakan 27 projek bekalan air berimpak tinggi bernilai RM439 juta di Mukah.

Menurut Menteri Muda Bekalan Air Datuk Abdul Rahman Junaidi, ia dilaksanakan bagi menambahbaik infrastruktur dan sistem bekalan air di Bahagian Mukah.

Katanya, projek-projek bekalan air ini telah dirancang dengan teliti oleh Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) sebagai agensi pelaksana, serta Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).


“Ia bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di Bahagian Mukah,” katanya pada lawatan kerja ke Mukah hari ini.

Setakat ini kata Abdul Rahman, sebanyak 15 projek rakyat yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan bernilai RM45 juta telah siap dilaksanakan.

Ujar beliiau, ia telah berjaya menangani beberapa isu bekalan air di beberapa kawasan di Bahagian Mukah.

“Manakala 10 buah projek bernilai RM185 juta iaitu 8 projek rakyat, 1 projek di bawah RMK-11 dan 1 projek KPLB masih lagi dalam peringkat pembinaan dan menunjukkan perkembangan yang amat positif.

“Di samping itu juga, terdapat 2 projek KPLB bernilai RM207 juta masih lagi berada dalam peringkat perancangan,” katanya.

Menurutnya lagi, kemajuan keseluruhan 10 projek yang masih dalam peringkat pembinaan menunjukkan prestasi kerja yang amat memberangsangkan walaupun sebelum ini menghadapi cabaran pelaksanaan berikutan penularan pandemik Covid-19.

Namun demikian ujar beliau, pihak JBALB dan KPLB bersama para kontraktor projek telah mengambil langkah sewajarnya agar projek bekalan air tersebut berjalan dan dilaksanakan mengikut jangka masa yang telah ditetapkan.

“Di samping menambahbaik sistem bekalan air sedia ada, projek ini juga dijangka akan melonjakkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat.

“Ini memangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di Bahagian Mukah,” ujar Abdul Rahman. — DayakDaily