KUCHING, 17 Sep: Rapid Bus Sdn Bhd menghantar 25 buah bas untuk kegunaan para atlet dan pegawai sepanjang berlangsungnya temasya Para SUKMA di Sarawak pada 20 hingga 28 September ini.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, ia akan memastikan pengangkutan dan keperluan para atlet, pegawai, para pengunjung dipenuhi dengan baik.
“Perkhidmatan Bas Rapid adalah percuma iaitu tanpa melibatkan sewaan.
“Manakala kos penghantaran sebanyak RM845,000 ditanggung oleh Kerajaan Sarawak dari Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Kuching dan balik,” kata Fatimah pada satu sidang media di Kuching hari ini.
Tambah beliau, Rapid Bus Sdn Bhd turut menghantar seramai 44 orang pegawai dan petugas termasuk 30 kapten bas serta 14 kakitangan sokongan yang telah tiba seawal pada 13 September lepas.
Ujarnya, semasa Para Sukma Sarawak nanti, seramai 260 atlet berkerusi roda memerlukan kemudahan bas tersebut.
“Bas-bas ini dilengkapi dengan kemudahan mesra OKU, termasuklah ramp dan ruang khas untuk kerusi roda.
“Selain itu, semua bas ini telah melalui pemeriksaan keselamatan yang ketat sebelum penghantaran dan akan terus dipantau untuk memastikan kualiti perkhidmatan yang terbaik sepanjang temasya ini berlangsung,” kata Fatimah.
Selain daripada 25 buah bas Rapid KL, terdapat 37 buah bas, 79 buah van, 19 buah SUV, 20 buah kereta dan 10 buah lori akan digunakan sepanjang Temasya Para Sukma Sarawak 2024. — DayakDaily