206 projek naik taraf, bangun semula bangunan daif sekolah seluruh Sarawak siap

Datuk Mohd Radzi Md Jidin. Foto: Ukas
Advertisement

KUCHING, 17 Ogos: Sebanyak 206 projek menaik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di sekolah seluruh Sarawak telah siap sepenuhnya setakat 31 Julai 2022.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Menteri Kanan Pendidikan Datuk Mohd Radzi Md Jidin memberitahu jumlah itu adalah daripada 361 projek yang telah diluluskan bagi tempoh 2016 sehingga 2022.

“Sebanyak 361 projek menaik taraf dan membangunkan semula bangunan daif di sekolah seluruh Sarawak telah diluluskan bagi tempoh 2016 sehingga 2022 dengan kos projek sebanyak RM2.373 bilion,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan Ahli Dewan Negara Senator Susan Chemerai Anding dalam Persidangan Dewan Negara pada Khamis lepas (11 Ogos).

Susan bertanya mengenai maklumat terkini berkenaan dengan status pembinaan sekolah-sekolah daif di Sarawak.

Mohd Radzi juga memberitahu, sebanyak 65 projek lagi berada di peringkat pembinaan dan sebanyak 90 projek di peringkat prabina. — DayakDaily

Advertisement