200 pegawai KPDNKK dikerahkan untuk memantau dan memeriksa bazar Ramadan setiap hari

Ramadan bazaars are the most anticipated and awaited event every year to celebrate the festive Raya season, but the Covid-19 pandemic has made it difficult for them to be organised. File Photo

KUCHING, Mei 28: Seramai 200 orang pegawai penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di seluruh Sarawak akan menjalankan pemantauan dan pemeriksaan setiap hari di bazar-bazar Ramadan bagi menangani isu penandaan harga oleh para peniaga.

Timbalan Pengarah KPDNKK Sarawak, Md Nawawi Ab Rahman berkata ia bagi memastikan para peniaga supaya mematuhi arahan yang dikenakan dengan meletakkan tanda harga pada jualan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan.

Pada masa sama, beliau turut mengingatkan pengguna supaya mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak masing-masing.


“Para peniaga diingatkan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang gagal mematuhi peraturan-peraturan di bawah pelaksanaan ini,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan pemeriksaan di Bazar Ramadan Kota Sentosa, dekat sini.

Menurut Md. Nawawi, mana-mana peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

Jelas beliau bagi kesalahan kerana gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga oleh Penjual Runcit) 1993, untuk individu boleh didenda oleh mahkamah tidak melebihi RM50,000 atau dua tahun penjara atau kompaun tidak melebihi RM25,000.

Manakala bagi syarikat, beliau berkata boleh didenda oleh mahkamah tidak melebihi RM100,000 atau kompaun tidak melebihi RM50,000 bagi kesalahan pertama.

Md. Nawawi berkata bermula Mei 17 lalu (hari pertama Ramadan) sehingga hari ini, KPDNKK Sarawak telah menjalankan pemeriksaan ke atas 2,965 bazar Ramadan di seluruh negeri.

Bagaimanapun, katanya tiada tindakan kes dan aduan dilaporkan setakat ini. — DayakDaily