Oleh Dean Adam
SIBU, Ogos 7: Seramai 20 penghuni yang menetap di tiga buah rumah di Kampung Bahagia Jaya di sini hilang tempat tinggal dalam sekelip mata selepas kediaman mereka musnah dijilat api, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, ketiga-tiga rumah papan itu musnah terbakar 100 peratus rumah, manakala penghuninya sempat menyelamatkan diri.
Ketua Bomba dan Penyelamat Zon 4, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.51 pagi sebelum menghantar pasukan ke lokasi kejadian.
Katanya, seramai 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah kemudian bergegas ke lokasi untuk melakukan operasi memadam kebakaran.
“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati api sedang marak memusnahkan ketiga-tiga rumah jenis tidak kekal itu.
“Pasukan bomba menggunakan dua aliran 300 kaki dan tiga nozel bagi mengawal serta memadamkan kebakaran tersebut,” katanya di sini hari ini.
Wan Kamarudin menambah, kebakaran tersebut dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 3.20 pagi.
Katanya, insiden berkenaan juga tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian tersebut masih lagi dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily