Ahli keluarga 2 anggota tentera yang hilang akan dihantar ke Pulau Perak

Fatimah bercakap kepada pemberita. Turut kelihatan (dari kiri} James, Thony dan Morni.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 7 Ogos: Kerajaan negeri akan menghantar ahli keluarga dua anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dari Sarawak yang hilang ketika bertugas di kawasan Op Pejarak di Pulau Perak, Kedah, dalam masa terdekat ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah, berkata ianya merupakan bantuan awal yang diberikan kerajaan negeri dan telah disetujui ketua menteri.


“Bantuan dari kerajaan negeri adalah menerusi unit keselamatan negeri dan juga Rumah Sarawak di Kuala Lumpur.

“Sebelum itu, kita akan berhubung dengan Mindef (Kementerian Pertahanan) terlebih dahulu untuk menyampaikan hasrat ahli-ahli keluarga ini.

“Selepas mendapat maklumbalas dari Mindef, barulah kita terbangkan mereka ke Langkawi,” kata Fatimah ketika ditemui pemberita di Bangunan Baitulmakmur, di sini, hari ini.

Terdahulu Fatimah menerima kunjungan ahli keluarga keluarga L/Kpl Moses Logers diwakili abangnya, Thony Hilo Logers, 34, dan James Mathew Logers, 31, manakala keluarga Kpl David Edmund Rapi diwakili abangnya Morni Edmund Rapo.

Moses, 25, dan David, 39, dari Batalion Keempat Rejimen Renjer Diraja (4RRD) yang berpangkalan di Kem Bukit Cowder, Perlis, dilaporkan hilang 19 Julai lepas.

Pada pertemuan pagi tadi, perbincangan tertumpu kepada khidmat sokongan yang boleh diberi kerajaan negeri kepada keluarga dua anggota tentera terbabit.

Menurut Fatimah, kerajaan negeri akan menguruskan perjalanan dua ahli keluarga dari dua tentera yang hilang tersebut ke Pulau Perak, Kedah.

“Dua ahli keluarga dari dua pihak akan kita hantar dan hasrat mereka adalah untuk berjumpa dengan pihak yang bertanggungjawab dalam urusan mencari.

“Maka permintaan mereka (ahli keluarga) kita sampaikan dahulu secara rasmi melalui surat ke Mindef.

“Setelah ditetapkan tarikh, kita akan uruskan penerbangan ahli-ahli keluarga ini termasuk tempat tinggal dan sebagainya,” katanya. — DayakDaily