2 lelaki suspek pecah rumah dicekup polis selepas aksi kejar mengejar di Pujut Tanjong Batu

Kedua-dua suspek (barisan depan, dua dan tiga dari kiri) ditahan bersama exhibit.

Oleh Brad Rantayy

MIRI, 10 Feb: Dua lelaki ditahan kerana dipercayai terbabit dengan beberapa siri kegiatan pecah rumah di sekitar Miri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Supt Mohd Sabri Zainol berkata, kedua-dua suspek dikesan dan ditahan dalam operasi dinamakan Ops Pintu pada malam Selasa dan petang Rabu.

Turut dirampas beberapa barangan curi dan sebuah kereta jenis Toyota Unser dipercayai telah digunakan dalam kegiatan pecah rumah dan curi.

“Suspek pertama ditahan sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Miri pada Selasa sekitar jam 9.47 malam di sebuah rumah di Jalan Tanjong Batu Pujut Padang Kerbau selepas aksi kejar mengejar,” ujarnya.

Hasil siasatan mendapat, suspek berusia 28 tahun itu, turut mempunyai empat rekod jenayah lampau membabitkan pecah rumah dan curi.

“Dipandu arah oleh suspek terbabit, polis berjaya menahan rakan subahatnya yang berusia 68 tahun di sebuah rumah di Jalan Kampung Sungai Adong pada Khamis petang sekitar jam 3.15 petang,” kata Supt Sabri.

Kedua-dua suspek disyaki terlibat memecah masuk tiga buah rumah yang sudah siap pembinaan di Jalan Bakam awal bulan ini melibatkan kerugian sebanyak RM20,000.

Tangkapam dilakukan, sejurus sahaja pihak polis dimaklumkan mengenai kehilangan barangan di dalam tiga buah rumah tersebut.

Difahamkan, kereta jenis Toyota Unser yang digunakan kedua-dua suspek sering kali dilihat pakir berhadapan ketiga -tiga rumah tersebut.

Kedua-dua suspek telah dibawa ke lokap Balai Polis Pusat Miri untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. — DayakDaily