2 lelaki ditahan, disyaki curi aluminium

PDRM logo.

KUCHING, 15 JULAI: Polis pada semalam menahan 2 lelaki dipercayai suspek kepada kes kecurian batang aluminium di tapak projek pembinaan Metrocity disini pada 9 Julai.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani berkata, kedua-dua suspek yang merupakan warganegara tempatan berusia dalam lingkungan 20 hingga 30-an ditahan di Jalan Datuk Temenggong Tan Meng Chong.

“Dalam aduan yang diterima daripada penyelia tapak pembinaan tersebut menyatakan dia telah ternampak dua suspek lelaki sedang memasukkan batang aluminium yang siap diikat ke dalam kenderaan, kemudiannya dengan segera telah beredar dari tempat kejadian.


“Sejurus laporan diterima maklumat berkenaan ciri fizikal kedua-dua suspek dan juga jenis kenderaan telah disalurkan kepada bahagian Risikan Bahagian Siasatan Jenayah.

“Dengan maklumat dan risikan yang telah diperoleh,dua suspek kemudiannya berjaya ditangkap,” katanya.

Menurut Awang Din, polis turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton Iswara yang dipercayai digunakan semasa kejadian untuk mengangkut barang curi.

Susulan tangkapan tersebut katanya, ujian saringan air kencing telah dilakukan ke atas kedua-dua saspek dan mendapati kedua dua mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Semakan kesalahan lampau juga menunjukkan kedua-dua suspek ini mempunyai kes dadah dan salah seorang suspek juga pernah ditangkap bersabit kes pecah rumah sebelum ini,” ujarnya.

Beliau berkata,berdasarkan soal siasat awal, pihak polis percaya kedua-dua suspek sememangnya terlibat dalam kes kecurian batang aluminium terbabit yang mana mereka telah menjual batang aluminium tersebut ke sebuah premis membeli barangan lusuh di Jalan Batu Kawa.

“Berpandukan keterangan yang diperoleh pihak polis BSJ IPD Kuching telah berjaya membuat rampasan barang kes dan juga resit pembelian atas nama salah seorang suspek yang menjualnya ke kedai barang lusuh tersebut.

“Penjaga kedai barang lusuh dan pekerjanya telah dibawa ke pejabat Pegawai Penyiasat JSJ IPD Kuching untuk siasatan lanjut,” kata Awang Din.-DayakDaily