Covid-19: 2 individu pulih dengan 5 kes baharu

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 15 Julai: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat dua kes yang telah pulih Covid-19 dan dibenarkan discaj di seluruh negara pada hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya dari jangkitan Covid-19 dan discaj dari wad meningkat kepada 8,526 kes.


Ia bersamaan 97.62 peratus daripada jumlah keseluruhan kes positif Covid-19.

“Sehingga 15 Julai 2020 pukul 12.00 tengah hari, terdapat lima kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,734 kes.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 86 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan,” dedah beliau menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, empat kes baharu yang dilaporkan adalah merupakan kes penularan tempatan manakala satu adalah kes import.

Kes penularan tempatan itu melibatkan tiga warganegara Malaysia dan satu bukan warganegara.

“Sehingga kini terdapat lima kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan satu kes memerlukan bantuan pernafasan,” ujar beliau.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan bahawa tiada kematian dilaporkan ke Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan(CPRC) hari ini.

Justeru, tambah beliau, jumlah kes kematian di Malaysia kekal 122 kes iaitu bersamaan dengan 1.40 peratus daripada jumlah keseluruhan kes. — DayakDaily