Dua lelaki ditemukan mati di dalam kapal


SIBU, 13 Feb: Dua lelaki disahkan meninggal dunia setelah ditemui tidak sedarkan diri dalam ruangan bawah kapal di Jalan Bukit Lan pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 10.30 pagi.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan terdapat dua mangsa lelaki tidak sedarkan diri berada di dalam ruangan bawah kapal.

“Pasukan penyelamat membawa mangsa ke pintu utama dan menggunakan khidmat jengkaut milik syarikat bagi mengeluarkan mangsa.

“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan dan disahkan telah meninggal dunia oleh pihak perubatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mayat kedua-dua mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Mangsa-mangsa seorang lelaki warganegara Malaysia, 36, dan seorang lelaki warganegara India, 23.

Operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.18 tengah hari. — DayakDaily