19 pekerja kilang tinggal sehelai sepinggang, kuarters didiami terbakar

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.
Advertisement

Oleh Dean Adam

MIRI, Jun 28: Seramai 19 pekerja kilang di Jalan Kuala Baram, di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas kuaters yang didiami mereka musnah terbakar malam tadi.

Kejadian kira-kira 10.45 malam itu turut memusnah sebuah kereta Perodua Bezza dan motosikal Honda EX5.

Advertisement

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong, berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran tersebut pada pukul 10.46 malam.

Katanya, sejurus itu sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam.

Kelihatan api sedang marak membakar sebuah blok rumah pekerja kilang.

“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar kilang berkenaan.

“Pemeriksaan mendapati semua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya di sini hari ini.

Law menambah, kebakaran tersebut telah memusnahkan sebuah blok kuarters yang melibatkan tujuh buah pintu di situ.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily

Advertisement