19 mangsa kebakaran ditempatkan di PPS Stapok

Anggota Bomba memadam kebakaran.

KUCHING, 21 Mac: Sebanyak enam keluarga Yang terdiri daripada 19 orang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Stapok selepas rumah pekerja didiami mereka musnah dalam kebakaran malam tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut di Jalan Kong Pin pada jam 7.38 malam.

Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan Tabuan Jaya dikerahkan ke lokasi kejadian.


“Komander operasi melaporkan kebakaran melibatkan dua blok rumah pekerja yang keseluruhnya terdapat 22 pintu.

“Daripada keseluruhannya, hanya 10 pintu yang didiami dan kesemua mangsa dilaporkan selamat dan ditempatkan di PPS Dewan Stapok untuk sementara,” katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 10.15 malam.

Setelah memastikan keadaan selamat dan tiada punca nyalaan semula, pasukan Bomba kemudian berangkat balik ke balai.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily