18 keluarga tinggal sehelai sepinggang, rumah panjang didiami musnah terbakar

Keadaan Rumah Panjang Museh di Sri Aman yang mengalami kebakaran.

SRI AMAN, Ogos 19: Kira-kira 18 buah keluarga yang menetap di Rumah Panjang Museh tinggal sehelai sepinggang selepas rumah panjang yang didiami mereka musnah terbakar petang tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 4.39 petang itu, jumlah mangsa yang terjejas akibat kebakaran belum diketahui.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 4.40 petang.


Jelasnya, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman kemudian diarahkan ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Pasukan bomba dari BBP Serian juga dikerahkan ke tempat kejadian bagi membantu operasi tersebut.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah panjang yang memiliki 20 pintu itu,” katanya di sini hari ini.

Anggota Bomba berusaha memadam kebakaran di Rumah Panjang Museh di Sri Aman.

Tiong menambah, tindakan pantas pasukan bomba berjaya menyelamatkan dua pintu di bahagian dapur daripada terbakar.

Katanya, operasi memadam kebakaran itu menggunakan sumber air terbuka dari kolam ikan berdekatan.

“Setakat ini, tiada kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat kejadian itu juga masih dalam siasatan,” ujarnya. — DayakDaily