12 finalis rebut gelaran Ratu Cantik Tagang Semadang 2018

Barisan 12 finalis Ratu Cantik Tagang Semadang 2018.

KUCHING, Ogos 19: Seramai 12 jelitawan bakal merebut gelaran Ratu Cantik Tagang Semadang 2018 sempena Festival Tagang Antarabangsa Semadang 2018 pada September 1 depan.

Antara finalis-finalis tersebut ialah Alicia Ester, Chris Hazel, Cornolia John, Dorathy Ann, Ellyana Murat, Fellicia Pamella, Jelianicca Lorettanisna, Natasna Sunau, Nurhafeeza Abdul Ellias, Rabcheal Emmile, Wilsey Barnabas dan Winona Nathasa.

Penyelaras pertandingan tersebut, Alvine Ngu Fung Ling berkata, pertandingan Ratu Cantik Tagang Semadang 2018 menawarkan hadiah wang tunai RM1,300 untuk juara, manakala naib juara dan tempat ketiga masing-masing akan menerima hadiah wang tunai RM800 dan RM500.


Menurutnya, tiga pemenang terbaik juga akan masing-masing menerima trofi dan hadiah sampingan.

“Selain itu, sembilan peserta lain turut tidak pulang dengan tangan kosong apabila menerima hadiah sagu hati bernilai RM200 setiap seorang,” katanya hari ini.

Sementara itu, Pengarah Festival Robert Kenneth berkata, Festival Tagang Antarabangsa Semadang 2018 merupakan kali keempat yang diadakan.

Katanya, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan bermula dengan pertandingan tarian dan alat muzik tradisional pada 31 Ogos depan pada pukul 7.30 malam di Kampung Semadang.

“Pertandingan memancing yang dijangka disertai lebih 200 peserta pula dilangsungkan pada September 1, sementara pertandingan
Ratu Cantik Tagang Semadang 2018 diadakan pada pukul 7.30 malam.

“Turut dilangsungkan pada September 1 ialah pertandingan memasak oleh Maggi dan Universiti UCSI selain pertandingan dart dan pelbagai aktiviti permainan,” katanya.

Manakala tambahnya, pada September 2 pula akan berlangsung sukan air, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan pertandingan karaoke yang terbuka kepada orang ramai.

Turut diadakan sepanjang festival tiga hari itu ialah bazar makanan dan minuman serta pameran.

Festival Tagang Antarabangsa Semadang 2018 akan berlangsung dari Ogos 31 hingga September 2 depan di Kampung Semadang, Jalan Puncak Borneo, Kuching. ā€” DayakDaily