Lelaki warga emas temui ajal dipercayai akibat langgar lari

Keadaan mangsa yang ditemui mati di bahu jalan.

MUKAH, Ogos 19: Malang menimpa seorang lelaki warga emas apabila dia ditemui mati dipercayai akibat motosikalnya dilanggar lari oleh kenderaan yang belum diketahui di KM27, Jalan Kuala Balingian-Kuala Tatau di sini hari ini.

Mangsa, Bol Tani, 73, ditemui mati oleh orang awam kira-kira pukul 7.40 pagi di bahu jalan berkenaan, yang kemudian menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati mangsa sudah tidak bernyawa di tepi sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangnya.


Katanya, pemeriksaan ke atas mayat mangsa mendapati mayat telah keras dan kejadian dipercayai berlaku sebelah malam atau senja sehari sebelum dia ditemui mati.

“Siasatan lanjut mendapati motosikal mangsa dipercayai dilanggar dari arah belakang kerana bahagian belakang motosikal mangsa terdapat kerosakan yang teruk dan terdapat kesan brek kenderaan berat dipercayai lori.

“Bagaimanapun, ketika ini kenderaan yang melanggar mangsa belum diketahui dan dipercayai telah melarikan diri dan belum membuat laporan polis,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Mukah untuk dibedah siasat.

Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat tentang kes berkenaan diminta hubungi pegawai penyiasat Insp Anselm yang juga Ketua Trafik IPD Mukah atau tampil ke balai polis yg berdekatan bagi membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya lagi. — DayakDaily