18 juta unit RTK tersedia di pasaran

File photo of rapid self-test kits.
Advertisement

KUCHING, 22 Feb: sehingga kini terdapat kira-kira 18 juta unit kit ujian Covid-19 RTK tersedia dalam pasaran di seluruh negara.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam kenyataan berkata, sejumlah 8,084 premis runcit telah diberi kelulusan kebenaran menjual RTK yang diiktiraf oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan Malaysia (MDA).

“Sebagai makluman, 8 pengilang yang mendapat kebenaran bersyarat menghasilkan RTK di Malaysia telah mengeluarkan sejumlah 4.306 juta unit RTK sehingga Februari 2022.

Advertisement

“Manakala, negara telah mengimport sejumlah 2.34 juta unit RTK dari 7 buah negara.

“Jumlah keberadaan RTK tambahan di pasaran sehingga hujung Februari adalah 6.647 juta unit,” katanya.

Berdasarkan statistik kata KPDNHEP, aduan berhubung kekurangan bekalan RTK menunjukkan peratus yang sangat rendah.

Pada tahun ini iaitu bermula 1 Januari sehingga 21 Februari 2022 hanya 3 aduan sahaja diterima oleh pihak Kementerian berhubung kekurangan bekalan kit ujian.

“Julat harga RTK di pasaran adalah antara RM4.90 hingga RM19.90 pada ketika ini dimana 80 peratus RTK dijual di bawah RM10 seunit,” katanya.

Dalam pada itu, KPDNHEP memberi amaran kepada peniaga agar terus mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan penjualan RTK ini bagi mengelakkan tindakan tegas di ambil oleh pihak Kementerian.

Ujarnya, peniaga yang dikesan melakukan kesalahan berhubung perkara ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 22, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 dan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan boleh dikenakan penalti.

KPDNHEP juga menasihati pengguna agar tidak panik dengan situasi yang berlaku ini dengan membuat pembelian panik atau berlebihan dari keperluan dan sentiasa berwaspada dengan kehadiran RTK yang tidak mendapat kelulusan MDA.

Kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan mewartakan RTK sebagai barang kawalan di bawah Perintah Kawalan Bekalan (Barang-Barang Kawalan) (No.6) 2021 pada 24 November 2021 yang lalu dan telah dikuatkuasakan pada 1 Disember 2021. — DayakDaily

Advertisement