1,755 kes baharu, 2 kematian akibat Covid-19 dilaporkan hari ini

Covid-19 (file pic)

PUTRAJAYA, 6 Nov: Sebanyak 1,755 kes baharu jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini sekali gus menjadikan ia jumlah tertinggi pernah di laporkan sejak penularan virus berkenaan di kesan di negara ini.

Jumlah tertinggi pernah direkodkan sebelum ini iaitu pada 26 Oktober lalu adalah sebanyak 1,240 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes positif di negara ini meningkat kepada 38,189 kes dengan jumlah kebolehjangkitan sebanyak 11,530 kes.


“Untuk makluman, Sabah mencatatkan sebanyak 1,199 kes (68.3 peratus) daripada keseluruhan kes positif pada hari ini. Sebanyak 741 kes (42.2 peratus) yang dilaporkan adalah berkaitan kluster-kluster di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan penjara.

“Ini melibatkan Kluster PTS Tawau (372 kes), Kluster Penjara Sandakan (184 kes), Kluster Seberang Perai (162 kes), Kluster Tembok (10 kes), Kluster Penjara Kepayan (lapan kes), Kluster Penjara Reman (tiga kes) dan Kluster Benteng LD (tiga kes),” katanya dalam satu kenyataan harian Covid-19 hari ini.

Beliau berkata, negeri bawah Lembah Klang pula mencatatkan sebanyak 191 kes atau 10.9 peratus dan Labuan mencatatkan 59 kes positif (3.4 peratus) hari ini.

“Secara keseluruhannya negeri berkenaan menyumbang sebanyak 1,449 kes atau 82.6 peratus daripada keseluruhan kes positif Covid-19 dan negeri itu masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat tiga kes import dilaporkan hari ini daripada keseluruhan kes positif baharu dengan masing-masing mendapat jangkitan dari Arab Saudi, Afrika Selatan dan Myanmar.

Beliau berkata, selain negeri di Lembah Kelang dan Sabah,  sebanyak 192 positif baharu dilaporkan di Pulau Pinang diikuti Negeri Sembilan (45); Perak (18); Sarawak (17); Putrajaya (sembilan); Terengganu (lapan); Johor (tiga) dan Melaka (dua).

Dua kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini membabitkan masing-masing satu di Sabah dan Kedah menjadikan jumlah kumulati kematian disebabkan wabak tersebut meningkat kepada 278 kes.

“Bagi kes kematian ke-278 iaitu kes ke-35982 melibatkan seorang wanita warga emas berusia 67 tahun dari Sabah yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan asma dilaporkan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.

“Manakala bagi kematian ke-279 iaitu kes ke-35303 melibatkan seorang lelaki berusia 54 tahun dari Kedah dilaporkan meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahriyah dan mempunyai penyakit darah tinggi, buah pinggang kronik dan strok.

“Kedua-dua kematian yang dilaporkan ini merupakan warganegara tempatan,” katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, tiga kluster baharu Covid-19 turut dilaporkan hari ini dengan masing-masing satu kluster di Lembah Lelang, Sabah dan Perak.

“Bagi Kluster Mampulut sehingga 12 tengah hari tadi, sejumlah 209 individu telah disaring, di mana 28 kes dikesan positif Covid-19 (12 kes baharu) dan 181 individu dikesan negatif.

“Bagi Kluster Fores pula sehingga 12 tengah hari, sejumlah 190 individu telah disaring, di mana 20 kes dikesan positif Covid-19 (lima kes baharu), 70 individu dikesan negatif dan 100 individu lagi masih menunggu keputusan.

“Akhir sekali bagi Kluster Rengas sehingga 12 tengah hari, sejumlah 290 individu telah disaring, di mana sembilan kes dikesan positif Covid-19 (tujuh kes baharu), dan 281 individu lagi masih menunggu keputusan,” katanya. –DayakDaily