15 penghuni rumah panjang tinggal sehelai sepinggang

Pasukan bomba sedang memadam sisa-sisa kebakaran melibatkan sebuah rumah panjang.

BINTULU, Sept 12: Seramai 15 penghuni di Rumah Panjang Patrick Kebing di Jalan Tubau Bakun dekat sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah terbakar, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 1.40 petang itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu, Mohamad Meramit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 1.43 petang.


Menurutnya, sepasukan lapan anggota bomba dari BBP Bintulu kemudian bergegas ke tempat kejadian bersama sebuah jentera pemadam untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Tujuh anggota bomba dari BBP Samalaju juga bergegas ke lokasi bagi membantu operasi memadam kebakaran itu.

“Apabila tiba di tempat kebakaran, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar rumah panjang yang mempunyai lima pintu tersebut,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Meramit menambah, pemeriksaan lanjut mendapati kesemua penghuni rumah panjang tersebut berjaya keluar menyelamatkan diri.

Katanya, kejadian sama juga menyebabkan semua penghuni kediaman berkenaan tidak sempat menyelamatkan pelbagai barangan milik mereka.

“Kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 4 petang.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat insiden berkenaan,” ujarnya lagi. — DayakDaily