Ahli PKR Cabang Lubok Antu tarik balik sokongan terhadap Rafizi

Taylor Unting

LUBOK ANTU, Sept 12: Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Lubok Antu, Taylor Unting hari ini menarik balik sokongan kepada kepada calon Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Menurut Taylor, keputusan itu diambil setelah meneliti kenyataan Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang semalam yang menyatakan dirinya akan memberi sokongan penuh kepada Rafizi dan kumpulannya.

Maka dengan itu ujar Taylor, beliau berpendirian mempertimbangkan untuk menarik balik sokongan kepada kepada saudara Rafizi atas beberapa alasan.


“Pertama ialah kemungkinan disebalik kempen Rafizi diketahui Sng Junior (Ahli Parlimen Julau Larry Sng) dan Sng Senior (Datuk Sng Chee Hua, ayah Larry) telah memainkan peranan mereka dengan menaja dan mengekploitasi pemilihan bagi memperoleh kemenangan bagi pihak Rafizi dan kumpulannya di Semenanjung, Sabah dan Sarawak keseluruhannya.

“Alasan kedua pula bahawa diketahui Sng Junior pada masa ini sedang giat menjalankan kempen di seluruh Sarawak melalui ahli PKR supaya memberi undi kepada beliau yang kini bertanding untuk Majlis Pimpinan Pusat (MPP),” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Taylor menambah, dengan mengambil kira rekod beliau (Sng) sebelum ini yang amat diketahui sedaya upaya menguasai sebuah parti untuk kepentingan peribadi beliau tanpa mengira kepentingan parti.

Sebagai contoh PBDS katanya, yang dahulunya merupakan parti yang kuat dan kini hanya tinggal serpihan adalah disebabkan oleh beliau.

“Menyedari perkara berikut berlaku, maka saya menyeru rakan-rakan ahli di Cabang Lubok Antu untuk memberi sokongan dengan mengundi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebagai Timbalan Presiden PKR pada pemilihan akan datang.

“Keutamaan saya adalah kekuatan, perjuangan dan bersatu bagi mengekalkan perjuangan asal PKR daripada mereka yang hanya mementingkan diri sendiri dan belot kepada perjuangan parti,” katanya. — DayakDaily