15 penghuni hilang tempat tinggal sekelip mata akibat kebakaran

Keadaan api yang marak membakar sebuah rumah.
Advertisement

MIRI, Mac 24: Seramai 15 penghuni sebuah rumah di Riam Jaya di sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah terbakar dalam satu kejadian malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 7.40 malam itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Ketua Bomba dan Penyelamat Zon Miri, Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden tersebut pada pukul 7.43 malam.

Advertisement

Jelasnya, sejurus menerima laporan itu, sepasukan 15 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Miri telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal.

“Pasukan bomba kemudian bertindak melakukan operasi memadam kebakaran bagi memastikan api tidak merebak,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Law menambah, kejadian itu turut mengakibatkan sebuah kereta Proton Saga dan motosikal Modenas jenis Jaguh terbakar 100 peratus.

Katanya, kebakaran terkawal pada pukul 8.30 malam dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 9.23 malam.

“Buat masa ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian akibat insiden itu masih lagi disiasat,” katanya. — DayakDaily

Advertisement