15 nelayan Vietnam ditangkap, disyaki merompak hasil laut di perairan Miri

Kelihatan nelayan Vietnam yang ditangkap.

MIRI, 5 Ogos: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Miri telah menahan sebuah bot nelayan asing yang disyaki sedang merompak hasil laut di perairan negara.

Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Md Fauzi Othman berkata bot tersebut ditahan pada jarak lebih kurang 32.6 batu nautika dari barat daya Sungai Miri, tengah hari semalam.
​
Katanya, tangkapan tersebut adalah berikutan aduan komuniti nelayan tempatan mengenai aktiviti pencerobohan nelayan asing Vietnam di beberapa lokasi di perairan Sarawak.

“Pada lebih kurang jam 1.00 tengah hari semalam, bot Kilat 42 dalam tugasan Op Permai telah mengesan sebuah bot nelayan yang mencurigakan di sekitar perairan Miri.


“Berdasarkan struktur fizikal, bot tersebut disyaki bot nelayan asing Vietnam dan anggota kita terus merapat untuk memintas.

“Lebih kurang 20 minit, anggota kita berjaya menghimpit bot berkenaan yang sedang leka menangkap ikan tanpa menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Dedah beliau, pemeriksaan dan geledah mendapati bot tersebut tidak memiliki sebarang dokumen atau kebenaran untuk melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

“Bot tersebut dikendalikan oleh 15 kru termasuk tekong warga Vietnam berumur dalam lingkungan 18 hingga 64 tahun.

“14 orang kru gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri, manakala salah seorang daripada kru mengemukakan dokumen pengenalan diri yang meragukan,” katanya.

Bot bersama 15 kru termasuk tekong, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel lebih kurang 1,000 liter serta hasil tangkapan yang dianggarkan sekitar 2 tan metrik ikan campur dirampas dan diiring masuk ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua kru akan menjalani ujian saringan Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga setibanya di jeti bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan,” katanya.

Untuk sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang aktiviti yang mencurigakan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri ditalian 085-418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam. — DayakDaily