KUCHING, April 9: Seramai 14 pelajar dan seorang pemandu van sekolah nyaris maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Sejijak di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi itu membabitkan sebuah van sekolah dengan kereta Perodua Viva.
Kesemua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 1.12 petang.
Katanya, sejurus menerima maklumat kejadian, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Petra Jaya telah diarahkan ke lokasi untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah van sekolah dalam keadaan terbalik di bahu jalan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kesemua mangsa berjaya keluar dari kenderaan dengan bantuan orang awam,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tiong menambah, pasukan bomba kemudian memberikan rawatan awal kepada mangsa sebelum diserahkan kepada petugas perubatan.
Katanya, buat masa ini semua mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.
“Operasi tamat sepenuhnya selepas keadaan di lokasi kemalangan terkawal,” ujarnya lagi. — DayakDaily