131 kes Pinjaman Wang Tidak Wujud babitkan kerugian RM1.15 juta di Kuching

Poster peringatan kepada semua mengenai kes penipuan wang tidak wujud.

KUCHING, 23 Feb: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching merekodkan 131 kes penipuan pinjaman tidak wujud untuk tempoh tahun 2021 sehingga Februari tahun ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ahsmon Bajah berkata, keseluruhan kerugian dicatatkan daripada semua kes tersebut adalah sebanyak RM1.15 juta.

Katanya, suspek akan mengiklankan tawaran pinjaman wang melalui media cetak, media sosial atau pun mesej (SMS).


“Mangsa hanya akan berurusan melalui telefon atau Whatsapp, suspek tidak mempunyai pejabat atau lesen perniagaan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa kebiasaanya akan diminta untuk membuat pelbagai bayaran seperti wang jaminan, duti setem, insurans dan bayaran guaman ke akaun bank keldai sebelum pinjaman mangsa diluluskan.

Selepas itu katanya, suspek kemudian menghilangkan diri serta gagal dihubungi.

“Semua orang harus peka dan waspada sebelum membuat apa-apa urusan terutamanya pindahan wang ke mana-mana akaun bank.

“Terlebih dahulu sila semak ke nombor akaun penerima di laman sesawang http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/,” katanya.

Orang ramai juga boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997, wWhatsApp CCID di talian 013-2111222, sekiranya menjadi mangsa penipuan jenayah komersil. — DayakDaily