13 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman musnah terbakar

Anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran di Kampung Bintawa Hilir.
Advertisement

KUCHING, Mei 24: Seramai 13 penghuni tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka di Lorong 5, Kampung Bintawa Hilir di sini musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 8.58 malam itu tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 9 malam.

Advertisement

Menurutnya, sejurus menerima laporan kejadian, seramai 42 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya, BBP Kuching, BBP Tabuan Jaya, BBP Batu Lintang bersama jentera pemadam kebakaran diarahkan ke kampung berkenaan.

“Terdapat empat pasukan bomba dikerahkan ke lokasi kejadian memandangkan kedudukan rumah di kampung tersebut amat rapat.

“Pasukan kita berjaya menyelamatkan tiga buah rumah yang terletak berhampiran dengan menggunakan kaedah ‘fire break’ bagi mengawal kebakaran daripada merebak,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, api marak dengan cepat kerana kedua-dua rumah terbabit diperbuat daripada bahan mudah terbakar.

Katanya, kedua-dua penghuni rumah juga tidak sempat menyelamatkan dokumen dan barangan penting kerana kebakaran itu merebak pantas.

“Buat masa ini, pihak bomba masih menyiasat punca kebakaran dan anggaran kerugian akibat kejadian itu.

“Operasi memadam kebakaran itu tamat sepenuhnya pada tahun 11.50 malam,” katanya. — DayakDaily

Advertisement