13 penghuni terjejas, 4 rumah terbakar

Anggota bomba berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

SIBU, Mac 26: Seramai 13 penghuni yang mendiami empat buah rumah di Taman Rajang Park di sini terjejas apabila rumah mereka terbakar, hari ini.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 12.55 tengah hari itu, tiada kecederaan dilaporkan berlaku.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 12.59 tengah hari.

Katanya, sepasukan anggota bomba dari BBP Sibu kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.

Kelihatan asap tebal dari kebakaran melibatkan empat rumah.

“Apabila tiba, komander operasi melaporkan empat buah rumah teres dua tingkat struktur kekal terbakar.

“Kebakaran itu mengakibatkan dua buah rumah terjejas kira-kira 65 peratus, manakala dua lagi masing-masing 10 dan 15 peratus terjejas,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, kebakaran tersebut berjaya terkawal pada pukul 1.17 petang dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 2.15 petang.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam proses siasatan,” katanya. — DayakDaily