SEBUYAU, Jan 26: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensinya Institut Sosial Malaysia (ISM) telah mengadakan program kesukarelawanan bersama penduduk di kawasan di Masjid Kampung Sembangan di sini hari ini.
Program yang telah melibatkan 200 orang sukarelawan daripada pelbagai pihak dan agensi melalui pendekatan ‘Nasional Blue Ocean Strategy’ (NBOS) melibatkan sukarelawan JKM, PEWARIS, Persatuan Kelab Warga Emas, Belia SEBERKAS dan masyarakat setempat.
Program yang berlangsung itu turut melibatkan penyertaan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ahli Parlimen Batang Lupar, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bersama barisan ahli Majlis Pengurusan Tertinggi (MPT) KPWKM.
Selain itu, turut diadakan jamuan kenduri rakyat bersama penduduk setempat.
Rohani berkata, program gotong-royong itu adalah bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama dalam kalangan ahli masyarakat di dalam menjaga kebersihan persekitaran.
Jelasnya, ia juga diharap dapat memupuk semangat mencintai alam sekitar dan bertanggungjawab menjaga alam sekitar, harta hak milik awam termasuk persendirian.
“Bermula dari 2010 sehingga Dis 2017, seramai 12,796 orang telah dilatih oleh ISM dan 1,111 orang sukarelawan telah menyertai bengkel asas.
“Seramai 440 orang lagi menyertai bengkel kejurulatihan (TOT), manakala sebanyak 11,281 orang sukarelawan menyertai program ‘outreach’,” katanya di sini hari ini.
Rohani menambah, kesemua mereka yang dilatih ISM ini adalah didaftarkan di dalam pangkalan data sukarelawan di ISM. — DayakDaily