Pemuda melecur akibat bakar diri

Anggota bomba membantu mangsa (duduk) yang badannya melecur selepas cuba membakar diri.

SIMUNJAN, Jan 26: Seorang pemuda melecur di bahagian belakangnya selepas dikatakan cuba membakar diri di kediaman teman wanitanya di Kampung Sageng di sini hari ini.

Kejadian pada pukul 9.40 pagi itu telah mengakibatkan pemuda berusia 24 tahun tersebut melecur kira-kira 30 peratus badannya.

Bagaimanapun, motif pemuda berkenaan cuba membakar diri masih disiasat, sama ada dia putus cinta atau sebab lain.


Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pada pukul 9.42 pagi.

Katanya, sejurus menerima laporan insiden, sepasukan 10 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan telah bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja susulan.

“Bagaimanapun, sebaik tiba kampung tersebut, mangsa telah diselamatkan oleh penduduk kampung itu dan belakang dia didapati melecur kira-kira 30 peratus.

“Siasatan mendapati pemuda berkenaan telah bertindak membakar diri dengan menggunakan minyak petrol motosikalnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, tindakan pantas penduduk kampung itu memadamkan api dengan mencurahkan air pada badan mangsa berjaya menyelamatkan lelaki tersebut.

Katanya, kejadian itu turut mengakibatkan lantai rumah terbabit terbakar.

“Mangsa yang melecur sudah dibawa ke Hospital Simunjan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” ujarnya.— DayakDaily