KUCHING, 13 Dis: Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Senator Abun Sui Anyit menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) membuat sesi libat urus berhubung cadangan mewujudkan kawasan Parlimen baharu di Negeri ini.
Dalam satu kenyataan hari ini, Abun berkata, ia perlu sebelum rang undang-undang berkenaan dilaksanakan.
“Hari ini saya terbaca berita mengenai kemungkinan terdapat 12 kerusi Parlimen baharu akan diwujudkan di Sarawak.
“Di manalah kerusi-kerusi baharu tersebut? Siapa yang telah membincangkan persempadanan semula tersebut?
“Sebelum ini saya telah memberi cadangan agar semua pihak dipanggil untuk membincangkan dan dibuat libat urus mengenai kawasan-kawasan yang bakal diwujudkan,” katanya.
Tambah Abun, sesi libat urus melibatkan semua parti politik sebab mereka adalah pemegang taruh dalam isu ini.
Katanya, parti politik adalah pihak yang terlibat secara langsung dan terkesan dalam isu ini di mana mereka akan bertanding dalam pilihan raya setiap 5 tahun. — DayakDaily