Tukang kayu cedera di perut akibat ditikam perompak

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Ogos 19: Tindakan berani seorang lelaki untuk mempertahankan sepasang kasut miliknya daripada dicuri perompak bertukar tragedi apabila perutnya ditikam penjenayah berkenaan dalam satu kejadian di Kampung Tabuan Melayu di sini lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.55 petang itu, mangsa berusia 39 tahun cedera di bahagian perutnya akibat ditikam suspek menggunakan senjata tajam.

Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Ng Ah Lek berkata, sebelum itu, mangsa yang bekerja sebagai tukang kayu menyedari perompak tersebut cuba untuk mencuri sepasang kasut yang diletakkan di luar rumahnya.


Jelasnya, mangsa kemudian menegur suspek kerana berniat jahat sebelum berlakunya pergelutan antara mereka.

“Kemuncak pergelutan di antara dua lelaki tersebut ialah di mana suspek yang berusia 20-an secara tiba-tiba mengeluarkan senjata tajam lalu menikam perut mangsa.

“Selepas menikam mangsa, suspek kemudian melarikan diri manakala mangsa dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak untuk mendapatkan rawatan kecemasan,” katanya di sini hari ini.

Ng menambah, buat masa ini keadaan mangsa dilaporkan dalam keadaan stabil.

Katanya, pihak polis juga sedang mengesan suspek bagi membantu siasatan.

“Polis juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar tampil ke balai polis untuk membantu siasatan kes.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan,” ujarnya lagi. — DayakDaily