118 kenderaan diperiksa, 38 saman dikeluarkan dalam Ops Mabuk oleh IPD Padawan

Anggota polis melakukan pemeriksaan terhadap pengguna jalan raya.

Oleh Dean Adam

KUCHING, Jan 5: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan telah melaksanakan Ops Mabuk, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Padawan Supt Aidil Bolhassan berkata operasi itu dijalankan bagi mengesan dan menangkap pesalah trafik yang  memandu di bawah pengaruh alkohol di sekitar kawasan Batu 5 Jalan Penrissen di sini.


Menurutnya, operasi itu bermula pada pukul 11.30 malam dan berakhir pada pukul 3.30 pagi tadi.

“Sepanjang operasi itu, sebanyak 118 buah kenderaan telah diperiksa. Dalam pada itu sebanyak 38 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya di sini hari ini.

Anggota polis melakukan pemeriksaan.
Ujian dijalankan untuk mendapat bacaan aras alkohol.

Aidil menambah, menerusi operasi sama, terdapat dua pemandu didapati memandu di bawah pengaruh alkohol setelah ujian alat EBA II dijalankan adalah positif iaitu melebihi had bacaan 100 mg yang ditetapkan.

Katanya, mereka akan didakwa dibawah seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Antara kesalahan lalu lintas yang dikesan sepanjang operasi itu adalah seperti cukai jalan tamat tempoh, tiada lesen memandu, ubah suai kenderaan dan nombor plet yang tidak ikut peraturan.

“Operasi sebegini akan diteruskan dari masa ke semasa terutama pada hujung minggu untuk memastikan kadar kemalangan jalan raya dapat dikurangkan khususnya di daerah Padawan,” jelasnya lagi. — DayakDaily