Kerjasama kerajaan persekutuan penting untuk pastikan usahawan Sarawak tidak ketinggalan

Kelihatan Awang Tengah (kiri) ketika menghadiri mesyuarat MPUPK pada Jumaat (30 April) yang dilakukan secara atas talian.

KUCHING, 2 Mei: Kerjasama dan bantuan daripada kerajaan persekutuan kepada Kerajaan Sarawak penting dalam usaha memastikan komuniti usahawan di wilayah itu tidak terus ketinggalan dari segi sektor pemerkasaan ekonomi.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan ketika menyuarakan perkara itu berkata, pandangan dan cadangan dari Sarawak perlu dipertimbangkan bagi tujuan penyelarasan pelaksanaan program di peringkat wilayah terbabit.

Perkara tersebut disuarakan beliau semasa Mesyuarat Pembangunan Usahawan dan PKS Kebangsaan (MPUPK) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Mesyuarat yang dilaksanakan secara atas talian pada Jumaat (30 April) itu turut dihadiri Menteri-Menteri Persekutuan, wakil Menteri dari Sabah, Ketua Setiausaha Negara dan Gabenor Bank Negara .

MPUPK merupakan jawatankuasa tertinggi yang menjadi ‘platform’ bagi menggubal dasar dan menyelaraskan program serta projek pembangunan usahawan di peringkat nasional.

Yang turut hadir bersama Awang Tengah dalam mesyuarat itu Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan PKS Sarawak Datuk Naroden Majais, dan Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Sarawak Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh. — DayakDaily