10,000 ekor ayam terkorban dalam kebakaran di Bau

Operasi pemadaman kebakaran sedang giat dilakukan oleh anggota Bomba.

BAU, 12 Jan: Sekurang-kurangnya 10,000 ekor ayam terkorban dalam kebakaran di sebuah ladang ternakan ayam di Jalan Bau-Kuching hari ini.

Kebakaran tersebut dilaporkan berlaku pada jam 3.40 pagi dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bau diketuai Tawang Lingem bergegas ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran.

Bagaimanapun, setibanya anggota Bomba di lokasi kejadian, didapati kebakaran telah memusnahkan keseluruhan ladang tersebut.

Pasukan Bomba kemudian bertindak memadam kebakaran dengan mementang 300 kaki hos dan dua nozel.

Api berjaya dikawal pada jam 4.30 pagi dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 6 pagi.

Maklumat dari lokasi kejadian mengatakan terdapat sekurang-kurangnya 10,000 ekor ayam diternak di ladang tersebut dan semua tidak berjaya diselamatkan.

Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan. — DayakDaily