ADUN Tasik Biru gesa KMKK bekerjasama beri perkhidmatan terbaik untuk rakyat

Kelihatan Henry ketika berucap di Majlis Makan Malam Bersama KMKK Kawasan Singai.

KUCHING, 11 Jan: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) memainkan peranan penting dalam membantu rakyat di kawasan masing-masing, kata Menteri Muda Pengangkutan merangkap ADUN Tasik Biru Dato Henry Harry Jinep.

Memetik laporan Unit Komunukasi Awam Sarawak (Ukas), Henry berkata KMKK perlu bekerjasama dengan beliau dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat khususnya di DUN Tasik Biru.

Katanya, pendekatan baharu akan dilakukan bagi memastikan setiap permohonan yang diminta oleh rakyat dapat dinilai oleh beliau sendiri.


“Terdapat beberapa isu yang dihadapi oleh rakyat telah dimaklumkan kepada ketua kampung tetapi tidak disampaikan kepada saya.

“Pihak KMKK wajib rekod setiap permohonan daripada rakyat dan sampaikan kepada saya untuk saya nilai sendiri setiap bulan.

“Ini adalah kerana kawasan DUN Tasik Biru sangat besar dan kekangan masa membataskan saya untuk menumpukan tumpuan sepenuhnya pada semua kawasan,” katanya.

Henry berkata demikian pada Majlis Makan Malam Bersama KMKK Kawasan Singai di Bodang Grill Kampung Apar pada Isnin (10 Jan).

Berhubung isu tanah Pimuung Singai, beliau menggesa agar KMKK bertindak segera mengikut undang-undang dalam menuntut hak ke atas tanah daripada pihak Koperasi Singai supaya dapat dibahagikan mengikut kampung atau secara individu. — DayakDaily