1,000 permit kemasukan warga asing diluluskan di Sarawak — Violet Yong

Violet Yong

KUCHING, Julai 9: Sebanyak 1,000 permit kemasukan warga asing yang memohon kad pengenalan merah atau kad pemastautin tetap di Sarawak telah diluluskan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong berkata, orang ramai yang telah melakukan permohonan menerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) atau secara persendirian dimohon melakukan semakan di Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak.

Katanya, ia merupakan satu berita yang menggembirakan bagi pemohon iaitu suami atau isteri warga asing yang berkahwin dengan rakyat Sarawak.


“Saya juga telah dimaklumkan ada dalam kalangan pemohon yang telah menerima panggilan daripada Jabatan Pendaftaran Negeri Sarawak untuk menuntut kad pemastautin tetap.

“Namun, bagi mereka yang mempunyai sebarang kemusykilan dan pertanyaan boleh datang ke pusat khidmat DAP yang berhampiran mereka untuk maklumat lanjut,” katanya.

Berdasarkan maklumat daripada Jabatan Pendaftaran Negara, kad pemastautin tetap itu memiliki identifikasi pemastatutin tetap dengan lebih jelas.

Kad yang berlatarbelakangkan warna merah itu juga memaparkan maklumat kerakyatan asal selain memaparkan nombor permit masuk bagi yang berkaitan.

Namun, rakyat asing yang ingin memohon status pemastautin tetap perlu mendapatkan Permit Masuk terlebih dahulu selaras dengan peruntukan Seksyen 10 Akta Imigresen 1959/63.

Seseorang warga asing yang dikeluarkan permit masuk layak memohon taraf pemastautin tetap bagi membolehkan mereka dikeluarkan kad pengenalan merah atau MyPR oleh Jabatan Pendaftaran Negara.

Hanya enam kategori pemohon yang boleh dipertimbangkan untuk pemberian permit masuk iaitu seseorang yang memiliki kelayakan profesional atau kepakaran yang membolehkannya memberi perkhidmatan dalam negara tanpa menjejaskan warganegara sedia ada, serta seseorang yang memiliki sijil yang dikeluarkan oleh Menteri mengesahkan kemasukannya adalah untuk kepentingan ekonomi negara.

Selain itu ialah isteri dan mana-mana anak di bawah umur enam tahun kepada sesiapa yang dibenarkan masuk di bawah kategori terdahulu, dan isteri kepada warganegara Persekutuan yang tidak pernah tinggal berasingan dengan suami untuk tempoh lima tahun berturut-turut.

Seterusnya, mana-mana anak di bawah umur enam tahun kepada warganegara Persekutuan, dan sesiapa yang diberi kebenaran oleh Menteri untuk masuk ke Persekutuan di atas belas kasihan. — DayakDaily