Pertubuhan, persatuan Dayak harus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat Dayak, kata Nanta

Datuk Alexander Nanta Linggi

KUCHING, Julai 10: Pertubuhan dan persatuan Dayak harus memberi khidmat terbaik kepada masyarakat Dayak di negeri ini.

Timbalan Presiden Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, setiap pertubuhan dan persatuan Dayak juga perlu memainkan peranan dalam membantu kerajaan menyalurkan maklumat berguna kepada masyarakat akar umbi.

Menurut beliau, peranan pertubuhan dan persatuan seumpamanya turut penting dalam menyatukan seluruh rakyat di negeri tanpa mengira fahaman politik, bangsa dan agama.


“Semua pertubuhan dan persatuan Dayak perlu memainkan peranan menyatukan rakyat kerana mereka bukan sahaja sentiasa berada di hadapan malah sering berurusan dengan masyarakat pelbagai kaum.

“Apa yang perlu dilakukan adalah bertemu dengan setiap komuniti Dayak serta komuniti lain dan berikanlah khidmat kepada mereka,” katanya.

Alexander yang juga Ahli Parlimen Kapit memberitahu, semua ahli pertubuhan dan persatuan Dayak juga perlu kekal mengamalkan amalan bertoleransi dalam kalangan kepelbagaian suku kaum komuniti di Sarawak.

Katanya, mereka turut harus mencari pendekatan menarik bagaimana untuk memastikan mereka terlibat bersama.

“Sekiranya kita fikir terdapat kekurangan dari segi penyertaan daripada komuniti Dayak dalam aktiviti yang dianjurkan, jadi kita harus mencari jalan penyelesaian bagaimana hendak memastikan mereka terlibat bersama-sama.

“Semua ahli pertubuhan dan persatuan Dayak juga harus bijak dalam memberi keyakinan kepada komuniti terlibat sama dalam setiap aktiviti yang diadakan” ujarnya lagi. — DayakDaily