Kanak-kanak perempuan tahan sakit, kepala tersepit pada jeriji besi

Kanak-kanak perempuan yang tersepit kepala diserahkan kepada ibunya.

BAU, April 21: Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa menahan kesakitan kira-kira 20 minit selepas kepalanya tersepit pada jeriji besi di rumah keluarganya di Jalan Taiton di sini hari ini.

Kejadian itu dilaporkan berlaku kira-kira pukul 5.48 petang.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau, Kadri Bogol berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 5.49 petang.

Katanya, sejurus menerima maklumat insiden, sepasukan sembilan anggota bomba kemudian bergegas ke lokasi kejadian untuk melakukan kerja-kerja menyelamat.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati kepala kanak-kanak terbabit masih tersepit pada jeriji besi.

“Pasukan bomba kemudian melakukan kerja-kerja menyelamat dengan menggunakan peralatan khas,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kadri menambah, pasukan bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan kepala mangsa yang tersepit.

“Kanak-kanak yang tidak mengalami sebarang kecederaan kemudian diserahkan kepada ibunya untuk tindakan lanjut.

“Operasi itu tamat sepenuhnya pada pukul 6.01 petang,” katanya. — DayakDaily