10 PATI seludup masuk diusir

Gambar kejayaan tangkapan dan pengusiran PATI pada Ahad (22 Ogos, 2021) lalu.
Advertisement

KUCHING, 23 Ogos: Seramai 10 warga Indonesia diusir keluar selepas ditangkap cuba menyeludup masuk ke negeri ini pada Ahad lalu.

Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia dalam siaran medianya memberitahu kesemua pendatang asing tanpa izin (PATI) terbabit ditangkap dalam tiga operasi berasingan ‘Op Benteng’.

Katanya, pengusiran pertama dilakukan pada 2.45 petang selepas lima PATI termasuk seorang wanita ditangkap berhampiran sempadan negara di Biawak, Lundu.

Advertisement

“Kelima-lima mereka tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan menyatakan tujuan masuk ke Malaysia kerana ingin mencari perkerjaan,” katanya.

Pengusiran kedua berlaku pada 7.15 petang, di mana  tiga PATI ditangkap berjalan kaki dari sempadan untuk memasuki kawasan Malaysia melalui kawasan ladang Tetangga Akrab, Balai Ringin.

“Setelah ditahan dan disoal siasat mendapati lelaki tersebut adalah PATI yang cuba memasuki negara Malaysia secara haram,” katanya.

Manakala pengusiran PATI ketiga berlaku pada jam 9.45 malam di mana pasukan yang sedang melaksanakan serang hendap berjaya menahan dua PATI yang telah memasuki sempadan Malaysia dari Indonesia di Jalan Ensawang, Lubok Antu.

“Setelah ditahan dan disoal siasat, PATI tersebut menyatakan ingin mengutip hasil kebun di Malaysia,” katanya.

Tegasnya, kesemua PATI ditahan dan diusir keluar dari sempadan Malaysia dan laporan polis telah dibuat untuk tindakan selanjutnya.

“Anggota Tentera Darat khususnya di Sarawak amat komited menggalas tanggungjawab meneruskan inisiatif Op Benteng dalam mengekang aktiviti PATI menyelinap masuk ke Sarawak serta kegiatan jenayah rentas sempadan setiap masa,” katanya. — DayakDaily

Advertisement