10 mangsa bot karam di Mukah dijumpai, seorang lagi masih hilang

Anggota SAR mengangkat seorang daripada mangsa yang ditemui mati.

BINTULU, 22 Sept: Seramai 10 daripada 11 mangsa bot karam di perairan Mukah berjaya ditemui sehingga jam 5 petang tadi.

Pengarah Zon Maritim Bintulu Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata lapan daripada mangsa yang dijumpai disahkan selamat, manakala dua lagi telah meninggal dunia.

Justeru, operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa masih giat dijalankan.


“Pada jam 8.40 pagi, empat mangsa yang hilang selamat dijumpai oleh bot nelayan di dalam kawasan sektor pencarian.

“Dipercayai, mangsa ditolak oleh arus sehingga ke pesisir pantai dan pada jam 10.30 pagi, satu mayat dijumpai oleh bot pemancing Himajaya.

“MT Capella yang membawa dua mangsa yang selamat semalam tiba di Terminal Senari, Kuching Sarawak pada jam 11.12 pagi tadi.

“Pada jam 11.20 pagi, dua mangsa selamat dijumpai oleh bot pemancing Himajaya dan yang terakhir pada jam 12.30 tengah hari, satu mayat dijumpai oleh bot Pasukan Polis Marin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Semua mangsa adalah lelaki dan warga tempatan dan kesemua mangsa yang berjaya diselamatkan telah dibawa ke Hospital Mukah untuk rawatan lanjut dan tindakan lanjut,” katanya.

“Keluasan sektor pencarian pada hari pertama adalah 78.40 batu persegi dan cuaca di lokasi kejadian pada hari ini ombak dianggarkan 1.0 hingga 1.5 meter manakala angin bertiup dari Tenggara berkalajuan 20 hingga 30 kilometer per jam.”

Turut terlibat dalam operasi ialah Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Perikalan Laut Sarawak (JPLS), Angkatan Pertahanan Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Sarawak Shell serta nelayan-nelayan yang turut membantu sehingga dapat menjumpai 10 mangsa dalam masa satu hari. — DayakDaily