Padah bertindak ‘ganas’ dan cederakan wanita, lapan lelaki dicekup

Royal Malaysia Police logo

KUCHING, Jun 26: Gara-gara bertindak ‘ganas’ dengan merusuh dan mencederakan seorang wanita berusia 26 tahun di Kampung Sebandi Ulu, Asajaya pada Sabtu lalu, sekumpulan lapan lelaki telah diberkas oleh pasukan polis hari ini.

Kesemua suspek yang berusia antara 20 hingga 39 tahun itu ditahan pagi tadi susulan laporan polis yang diterima kira-kira pukul 10.30 pagi pada hari kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak, SAC Denis Leong Soon Kuai berkata, berdasarkan laporan diterima, wanita yang bekerja dengan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) itu telah mendakwa dicederakan oleh kumpulan lapan lelaki berkenaan.


Jelasnya, lapan suspek itu dikatakan tidak puas hati terhadap mangsa berhubung kes kemalangan maut di Asajaya bulan lalu yang mengakibatkan kematian salah seorang daripada ahli keluarga suspek.

“Dalam laporan itu, wanita berkenaan mendakwa kumpulan lapan suspek tersebut telah bertindak memecah pintu rumahnya.

“Tidak cukup dengan itu, mangsa juga mendakwa telah ditampar oleh suspek dan kenderaan miliknya telah ditolak ke dalam parit,” katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Leong menambah, siasatan awal mendapati mangsa mengenali kesemua suspek yang turut menetap di kampung sama.

Tegasnya, kelapan-lapan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 323, 427 dan 448 kanun yang sama kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, kemusnahan harta benda dan menceroboh,” ujarnya lagi. — DayakDaily