​Nai Dinamik bersyukur masih punyai peminat

Nai Dinamik (tengah) bersama para peminat.

KUCHING: Nai, penyanyi kumpulan Dinamik yang pernah terkenal dengan lagu ‘Antara Gadis’ dan ‘Biar Putih Tulang’ awal 90’an bersyukur kerana masih mempunyai peminat yang setia sehingga sekarang.

“Saya berasa tersentuh dan amat bersyukur kerana peminat masih lagi mengikuti perkembangan muzik saya,” kata Nai yang mempunyai peminat di semenanjung dan Sarawak.

Jelas Nai, kedua – dua kumpulan peminat ini mempunyai selera rentak muzik yang berbeza.

“Peminat di Sarawak lebih gemar mendengar lagu Iban dan etnik Sarawak,” katanya kepada dayakdaily.com.

“Kebiasaannya, masyarakat tempatan lebih gemar rentak muzik yang rancak seperti dangdut atau joget, terutamanya tiba musim perayaan Gawai.”


“Pendengar di semenanjung pula lebih menggemari muzik santai,” tambah vokalis yang pernah popular dengan lagu Iban, “Lelangau” sekitar 80an ini.

Kehebatan lagu “Lelengau” yang dirakam 100% dalam bahasa Iban pernah mencipta sejarah sebagai lagu Iban pertama yang dimainkan di corong – corong radio di semenanjung.

Lagu popular dendangan kumpulan rock ini, “Antara Gadis” juga pernah memasuki pertandingan akhir Juara Lagu pada tahun 1991 sehingga menyaksikan album mereka, “Revolusi Mental” mencatat jualan sebanyak 400,000 unit dalam 5 bulan pertama keluarannya.

Nai berkata, album Dinamik yang terbaharu akan berada dipasaran bila semua proses membuat album siap dalam masa terdekat. -dayakdaily.com