Lemang dan ayam pansuh kegemaran masyarakat Sarawak

Lemang dan Ayam Pansuh makanan tradisional masyarakat Sarawak.

KUCHING: Lemang sememangnya sinonim dengan perayaan Hari Raya dan sudah menjadi hidangan wajib pada hari perayaan tersebut.

Di Sarawak, lemang merupakan juadah yang amat popular bukan sahaja di kalangan masyarakat Melayu malah ianya juga dihidangkan semasa perayaan lain seperti Gawai, Tahun Baru Cina dan Deepavali.

Bagi penjual lemang, Mohammad Faisal, proses pembuatan lemang itu sendiri melibatkan kerjasama yang erat dari kaum lain.


“Kebiasaannya, kami akan memperolehi buluh dan daun pisang dari masyarakat Dayak manakala arang yang digunakan diperolehi oleh pembekal berbangsa Cina,” katanya yang berniaga lemang sejak 2009.

Faisal dan rakan sibuk membakar lemang untuk dijual.

Faisal yang beroperasi di Bazar Ramadan Satok itu menyatakan setiap kali tiba bazar Ramadan, lemangnya pasti menjadi pilihan pengunjung dari pelbagai kaum dan menganggap bazar tersebut sebagai contoh keharmonian masyarakat di negeri ini.

“Jika kita lihat, Bazar Ramadan ini menyediakan landasan bagi masyarakat Sarawak yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama untuk berinteraksi secara sosial.”

“Mereka yang membeli lemang bukan sekadar masyarakat Melayu, tetapi juga kaum lain yang turut menggemari lemang,” tambahnya.

Bagi penjual ayam pansuh pula, Ruzaini Suhaimi atau lebih dikenali sebagai Amy, ilham untuk menjual hidangan masyarakat Dayak ini datang dari pergaulannya bersama rakan – rakannya dari berbilang kaum.

Selain daripada itu, beliau juga mengatakan permintaan yang tinggi ke atas ayam pansuh mendorongnya untuk menjual hidangan tersebut.

“Ibu saya juga berbangsa Bidayuh yang berasal dari Serian, jadi setiap kali Gawai, kami akan menikmati hidangan ini.”, tambah anak muda berusia 28 tahun ini.

Amy memasak ayam pansuh dalam buluh.

Ramadan pada tahun ini agak unik kerana Gawai disambut semasa mereka yang beragama Islam sedang berpuasa.

“Pansuh merupakan makanan yang sihat dan mengandungi zat – zat yang diperlukan oleh badan. Ini amat penting untuk mereka yang sedang berpuasa.” kata beliau.

Amy yang menceburi bidang masakan pada umur 18 tahun itu berkata makanan tradisional di Sarawak merupakan simbol pertalian antara kaum di negeri ini.

“Itulah kelebihan masyarakat Sarawak. Walaupun kita terdiri daripada berbilang kaum namun hubungan kita rapat kerana makanan, terutama makanan tradisional seperti ini,” tambah Amy.-dayakdaily.com