This Content Is Only For Subscribers
Oleh Chris Bishop
SEMATAN, 13 Sept: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengakhiri penjelajahan ‘Kembara Kenali Borneo’ di KM0 Telok Melano pada jam 12.40 tengahari ini.
Keberangkatan tiba kembara Al-Sultan Abdullah bersama rombongan di Telok Melano yang memasuki hari ke-11 itu disambut ribuan penduduk Sematan dan Lundu.
Orang ramai beratur di tepi jalan menuju ke Bulatan KM0 Telok Melano seawal jam 9 pagi.
Selesai sesi bergambar, Al Sultan Abdullah berkenan mendengar taklimat Projek Pan Borneo Sarawak.
Al-Sultan Abdullah turut berkenan menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Masjid Telok Melano.
Yang di-Pertuan Agong kemudiannya berkenan menyempurnakan simbolik menandatangani plak ‘Kembara Kenali Borneo’.
Berangkat sama paduka anakanda, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Panglima Raja Kolonel Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah.
‘Kembara Kenali Borneo’ mengakhiri pengembaraan di Telok Melano selepas memulakan penjelajahan dari Tawau, Sabah pada 3 September lalu.
Hadir sama Pemangku Tuan Yang Terutama (TYT) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. — DayakDaily