KUCHING, 9 Dis: Yayasan Bank Rakyat (YBR) menyediakan RM3.1 juta sebagai bantuan awal pengajian kepada pelajar yang ingin menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Program ini telah mendapat kerjasama semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang terpilih.
Bantuan diberikan kepada pelajar dikalangan keluarga berpendapatan B40 untuk menyambung pengajian di peringkat diploma dan ijazah.
Satu sesi Penyerahan Bantuan Awal Pengajian telah disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Menara Kembar Bank Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.
Turut hadir adalah Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad serta wakil dari 12 universiti terpilih iaitu UUM, UniMAP, USM, UPSI, UPM, UKM, UTEM, UTM, UMP, UMK, Unisza dan UiTM.
Pada ucapan di majlis itu, Wan Junaidi berkata, inisiatif ini sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk membangunkan dan melahirkan lebih ramai modal insan di negara ini bagi sektor tenaga mahir dan profesional tempatan serta meningkatkan pendapatan rakyat.
“Pelajar yang mempunyai peluang untuk mendapat pendidikan secara tidak langsung juga akan berpotensi untuk menjadi usahawan.
“Mereka juga boleh mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat di agensi-agensi di bawah Medac untuk memulakan perniagaan,” kata Wan Junaidi.
Tambah beliau lagi, pelajar yang mendapat bantuan awal ini tidak perlu membayar balik jumlah yang diterima.
Wang tersebut, katanya, adalah bagi tujuan memulakan pengajian sementara menunggu mendapat tajaan atau bantuan kewangan yang lain.
Dalam pada itu, Pengerusi YBR Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, bantuan seiring dengan objektif yayasan dalam membantu meningkatkan tahap sosio ekonomi melalui pendidikan.
Bantuan sebanyak RM1,000 sebagai permulaan akan diberikan secara ‘one-off’ dan dijangka memanfaatkan lebih 3,150 pelajar baru yang ingin melanjutkan pengajian. — DayakDaily