Covid-19: 959 kes baharu dengan 1,068 pulih dan 5 kematian

Covid-19 file pic

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 9 Dis: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa terdapat 959 kes baharu positif Covid-19 dilaporkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia melibatkan 953 kes tempatan dan enam kes import.


“Kes positif terkini itu menjadikan jumlah kumulatif kes positif adalah sebanyak 76,265 kes.

“Dengan itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan adalah sebanyak 10,748 kes,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Selangor melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 277 kes atau bersamaan 28.9 peratus. Ini diikuti oleh Sabah sebanyak 203 kes (21.2 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 129 kes (13.5 peratus).

Tambah Dr Noor Hisham, terdapat sebanyak 1,068 kes pulih dan dibenarkan discaj menjadikan jumlah kumulatif kes pulih adalah 65,124 kes atau 85.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat 127 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 61 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan terdapat pertambahan lima kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes berkenaan 393 kes.

“Dukacita dimaklumkan terdapat lima kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan kesemua warganegara.

“Sabah dan Johor masing-masing melaporkan dua kes manakala Selangor melaporkan satu kes,” katanya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat empat kluster baharu dilaporkan hari ini melibatkan 52 kes baharu.

Empat kluster tersebut ialah Kluster Kupi-Kupi di Sabah, Kluster Tapak Bina Ikon Bintang di Kuala Lumpur, Kluster Bandar Impian di Johor, Kelantan dan Perak dan Kluster Jalan Kemang di Negeri Sembilan. — DayakDaily